Silat Lenyapkan Sorokan Indonesia . . .
JAKARTA – Sorakan daripada penyokong Indonesia ternyata tidak menggentarkan pesilat lelaki negara, Ahmad Shahril Zailudin bagi memburu pingat emas Sukan SEA 2011.
Sebaliknya, Shahril tampil bagai wira apabila mengetepikan cabaran pesilat Indonesia, Sapto Purnomo dalam acara silat olahraga Kelas D 60-65 kilogram lelaki semalam.
Ternyata kejayaan Shahril membawa pulang pingat emas sedikit sebanyak ‘meragut’ impian tuan rumah untuk mendominasi acara tersebut yang dibelenggu kontroversi berhubung pemilihan juri.
Tanpa belas ehsan, Shahril mudah ‘meratah’ lawannya itu sehingga mampu memukau penyokong tuan rumah dan pihak juri yang menghadiahkannya kemenangan 5-0.
Shahril berkata, dia telah menanamkan tekad untuk meraih emas, sekali gus memastikan lagu Negaraku berkumandang buat kali pertama di Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah (TMII) Jakarta Timur.
“Dalam pertarungan pertama dan kedua, memang jelas pihak juri memihak kepada pesilat tuan rumah.
“Bagaimanapun, pada perlawanan ketiga, rezeki memihak kepada saya kerana juri tidak dapat menafikan serangan yang saya lakukan memang berhak diberi mata dan akhirnya menang 5-0,” kata Shahril semalam.
Shahril berkata, kejayaannya meraih emas itu dianggap lebih bermakna kerana dapat menumbangkan pesilat tuan rumah yang mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.
“Saya amat berpuas hati kerana berjaya membalas dendam ke atas Sapto kerana saya kalah hanya satu mata kepadanya pada peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia di venue sama tahun lalu.
Di sebalik kegembiraan meraih emas, Shahril mengakui, dia kini sedang memikirkan untuk mengakhiri kariernya di peringkat antarabangsa,” jelasnya yang membuat lima penampilan di Sukan SEA.
Sejurus kejayaan Shahril, skuad silat negara terus berpesta apabila menambah dua lagi koleksi emas.
Dua pingat emas tersebut hadir menerusi Mohd. Al Jufferi Jamari dalam Kelas E 65kg-70kg lelaki dan Mohd. Fauzi Khalid (Kelas F 70-75kg lelaki).
Mohd. Al Jufferi menyingkirkan pesilat Vietnam, Nguyen Duy Chien, manakala Mohd. Fauzi membenam cabaran atlet Thailand, Katahat Raksapon pada saingan akhir.
Bola Sepak Sukan SEA: Malaysia Tewaskan Indonesia. . .
KUALA LUMPUR, (Arena.my) – Malaysia mara ke pusingan kalah mati dengan menewaskan Indonesia 1-0 di hadapan hampir 80, 000 penonton di Stadium Gelora Bung Karno.
Ledakan Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-17 itu melenyapkan ego tuan rumah yang sebelum ini begitu yakin mampu menjinakkan Harimau Muda.
Syahrul Azwari yang baru beberapa minit dimasukkan bagi menggantikan Wan Zaharul Nizam Zakaria pantas mencipta namanya selaku penjaring dalam temasya kali ini selepas dia berjaya memperdayakan membaca hantaran jauh daripada Mahali Jasuli.
Awal babak 45 minit permainan berlangsung dengan seimbang yang menyaksikan Sang Garuda Muda hanya menurunkan barisan keduanya.
Para pemain Malaysia beraksi dengan penuh disiplin di setiap jentera terutamanya bahagian pertahanan yang begitu ampuh mematahkan gerakan lawan.
Titus Bonnai yang menerajui bahagian serangan Indonesia jelas tidak memiliki idea untuk menguji Khairul Fahmi Che Mat.
Asraruddin Putra Omar hampir mengukuh kedudukan Malaysia ketika naik dalam situasi sepakan percuma namun tandukannya terkena palang gol Indonesia.
Kelibat bek kiri itu sekali lagi menghadirkan ancaman buat pertahanan lawan, sayangnya Izzaq Faris Ramlan lambat membaca gerakan tinggi itu.
Perlawanan terus berlangsung seimbang namun corak hantaran jauh serta larian deras daripada pemain sayap banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Sang Garuda yang melepaskan tujuh sepakan penjuru.
Permainan berlangsung agak berhati-hati sebaik disambung semula. Titus Bonnai terlebih dahulu beroleh peluang meloloskan diri tetapi terperangkap dengan jerat ofsaid.
Pertahanan Malaysia terus leka, mujur Ferdinand Sinaga sekadar mampu membuat tampanan liar sungguhpun tidak dikawal. Sekali lagi Indonesia menggunakan pemain sayap untuk mencipta peluang tetapi kali ini Khairul Fahmi lebih bersedia.
Beberapa kali, permainan terpaksa dihentikan kerana tonggak Malaysia sering dikasari namun pengadil memilih untuk memberi kata dua kepada pemain lawan.
Pada minit ke-68, Ong Kim Swee menerima padah apabila diarah meninggalkan bangku simpanan ekoran bantahannya terhadap pengadil selepas menyaksikan Syahrul Azwari dibentes keras oleh Ferdinand Sinaga.
Malaysia mampu membunuh sisa perjuangan Sang Garuda lebih awal seandainya bahagian penyerang lebih peka untuk memanfaatkan peluang yang dicipta rakan sepasukannya apabila dia terlepas hampir lima peluang menarik di depan gol.
Pada minit ke-74, sepakan percuma Baddrol melintasi beberapa pemain di depan gawang Indonesia tanpa cuba disambar oleh sesiapa.
Dalam 10 minit terakhir, kawalan bola pemain negara agak longgar sehingga dipintas oleh pemain lawan termasuk Baddrol yang mendorong pengadil menghukumnya dengan kad kuning.
Sebelum memasuki masa kecederaan, Izzaq gagal mempamerkan sentuhan berbisanya ketika diperlukan apabila dia tergelincir dalam kotak penalti.
Jaringan tunggal Syahrul Azwari itu sudah cukup untuk meletakkan Malaysia selaku juara Kumpulan A untuk bertemu Myanmar di peringkat separuh akhir nanti pada 19 Nov ini.




No comments:
Post a Comment
tinggalkan pesanan di sini