::.. DASAR PEMBANGUNAN BELIA NEGARA ..::



1. Pendahuluan
1.1. Generasi belia merupakan sumber terbesar dalam negara dan 
mereka berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan 
negara.
1.2. Keupayaan mengembleng tenaga belia akan menentukan 
kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan 
politik negara.
2. Takrif Belia
2.1. Dari segi umur belia ialah mereka yang berumur antara 15 hingga 
40 tahun.  Walau bagaimanapun dari segi strategi pelaksanaan 
program dan orientasi aktiviti, tumpuan utama ialah mereka yang 
berumur 18 hingga 25 tahun.
3. Matlamat
3.1. Mewujudkan belia Malaysia yang memiliki peribadi yang 
bersepadu dari segi rohaniah, akliah dan jasmaniah, 
bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik
serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran 
bangsa, agama dan negara selaras dengan Wawasan 2020.
4. Strategi
Untuk mencapai Dasar Pembangunan Belia Negara beberapa strategi 
akan dilaksanakan:-
4.1. Pembangunan Ilmu
Usaha akan dipertingkatkan ke arah mengembangkan ilmu 
pengetahuan di dalam berbagai aspek sebagai tunggak kepada 
pembangunan dan kemantapan generasi belia.
4.2. Pembentukan Sikap
Usaha ke arah penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan 
sikap yang positif dan kreatif akan dipupuk di kalangan belia bagi 
menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
4.3. Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan
Mempersiapkan generasi belia dengan teknologi terkini, 
kemahiran teknik dan vokasional serta kegiatan keusahawanan 
selaras dengan kehendak pembangunan negara.
4.4. Pemupukan Gaya Hidup Sihat
Generasi belia digalakan menyertai persatuan atau aktiviti 
sukarela yang dapat memupuk gaya hidup yang sihat, cergas dan 
dinamik. Amalan ini akan dapat melahirkan pemimpin-pemimpin 
yang bertanggungjawab dan berkualiti.
4.5. Kemudahan Interaksi Sosial
Mempertingkatkan kemudahan yang sesuai bagi menggalakkan 
aktiviti dan interaksi sosial yang sihat di kalangan belia dan 
masyarakat.
4.6. Perkongsian Dalam Pembangunan
Menggunakan perkongsian dan kerjasama antara agensi kerajaan, 
swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk pembangunan 
generasi belia.
4.7. Jaringan Hubungan Antarabangsa
Menggalakkan generasi belia meningkatkan jaringan dan 
interaksi dengan masyarakat antarabangsa.
5. Pelan Tindakan
Strategi di atas akan dilaksanakan melalui tindakan berikut:-
5.1. Menyediakan program keilmuan dan latihan kepada generasi 
muda yang dianjurkan bersama oleh agensi sektor awam, swasta, 
pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan.
5.2. Mengukuhkan program pembangunan kepimpinan dan bina 
sahsiah bagi membina kekuatan diri, institusi kekeluargaan, 
keagamaan dan kemasyarakatan supaya generasi belia dapat 
berperanan dengan berkesan.
5.3. Memantapkan program latihan kemahiran, peluang perniagaan 
dan keusahawanan supaya generasi belia mampu berdikari dan 
membina kerjaya yang cemerlang.
5.4. Mengupayakan pertubuhan belia supaya dapat menarik minat 
golongan belia dan masyarakat menyokong dan menyertai aktiviti 
yang di anjurkan.
5.5. Menyediakan peluang dan kemudahan kepada golongan belia 
untuk memajukan diri dalam bidang sosial dan ekonomi.
5.6. Meningkatkan semangat kesukarelawanan dan patriotisme
melalui kerja-kerja amal, kebajikan dan kemasyarakatan.
5.7. Memberi kefahaman generasi belia tentang konsep persejagatan 
(Globalisasi) dan kepentingan hubungan mereka dengan agensi 
kerajaan, swasta, pertubuhan belia dan pertubuhan bukan 
kerajaan serta jaringan antarabangsa.
5.8. Menyediakan prasarana dan mekanisme yang sesuai bagi 
kegiatan penyelidikan belia termasuk pematauan dan penilaian.
6. Prinsip Pelaksanaan
Semua program dan aktiviti diselaraskan berasaskan strategi dan pelan 
tindakan yang telah ditentukan berteraskan kepada Prinsip-prinsip 
Rukun Negara dan dasar-dasar utama negara yang berkaitan.
7. Rumusan
Dasar Pembangunan Belia Negara adalah panduan yang dapat memberi 
peluang dan ruang kepada semua pihak dalam merancang dan 
melaksanakan program untuk memperkasakan pembangunan belia.

(Dasar digubal pada tahun 1985 sempena Perayaan Tahun Belia Antarabangsa yang pertama dan dikaji semula pada tahun 1997 yang kemudiannya dinamakan Dasar Pembangunan Belia Negara)

Terima Kasih Membacanya :)

No comments:

Post a Comment

tinggalkan pesanan di sini